Selama saya pernah mendengar Nik Aziz menyampaikan kuliah-kuliah tafsirnya , ada yang saya sendiri bersetuju dan ada yang saya tidak bersetuju. Oleh kerana Nik Aziz adalah seorang politik maka tidak hairanlah dia cenderung kepada mengaitkan ayat-ayat al-Qur’an dengan isu-isu semasa di Malaysia dan dunia global.
Saya setuju bahawa al-Qur’an yang diturunkan lebih kurang 1500 tahun dulu bukan setakat ia relevan pada zaman dahulu sahaja. Apa yang berlaku pada zaman moden ini semuanya ada kaitan dengan ajaran-ajaran al-Qur’an. Kitab suci al-Qur’an adalah merupakan ‘ibar (pengajaran) sepanjang masa. Kalau kita baca tentang Fir’aun , dia adalah contoh pemerintah yang zalim dan kufur. Perbuatan dan tindak-tanduknya bukan sahaja wujud pada zaman dahulu sahaja , tapi pembawaannya tetap ada sepanjang masa. Amerika , sebuah negara kafir dan angguh adalah ibarat pemerintah Fir’aun zaman moden.
Semua cerita-cerita tentang para anbiya’ ada pengajaran yang boleh diambil. Cerita Nabi Yusuf difitnah , cerita Nabi Lut yang membentuk satu gerakan puak untuk menentang kaum yang zalim , cerita Nabi Musa yang terpaksa menyelamatkan diri daripada ketidakadilan hukuman Fir’aun yang melaksanakan ISA , cerita Nabi Sulaiman dengan semut yang mengajar supaya berhati-hati dalam pemerintahan , cerita ada ulama yang berperangai macam anjing ….dsbnya.
Nik Aziz berjaya membawa tafsir al-Qur’an ke dalam lubuk jiwa masyarakat Islam. Kalau dia mengambarkan alam akhirat ….dia menyebut betapa indahnya Syurga kelak dan betapa dahsyatnya Neraka kelak …yang antara keistimewaan Nik Aziz ialah beliau menjiwai ruh al-Qur’an itu sendiri dan menganjurkan orang lain mengambil al-Qur’an sebagai panduan hidup yang syumul.
Tapi , pada beberapa tempat saya mempertikai Nik Aziz. Contohnya beliau pernah berkata bahawa beliau lebih suka kepada kitab-kitab tafsir zaman moden kerana lebih relevan dengan kehendak-kehendak semasa. Walau bagaimanapun , Nik Aziz sebagai manusia ada dari segi kelemahannya memang ada dan dia bukan perfect. Dia pernah berkata bahawa dalam kitab-kitab tafsir lama terdapat soal-soal menjawab fahaman Mu’tazilah. Kata Nik Aziz bahawa Mu’tazilah sudah lama tiada dan apa perlunya kita asyik menjawab Mu’tazilah ?
Ya ….tapi Nik Aziz tidak faham masih ada jelmaan fahaman Mu’tazilah dalam zaman moden ini. Kalau ada puak zaman moden yang membaca ayat-ayat al-Qur’an dan cuba memahami perkara qadha dan qadar cara mirip dengan fahaman Mu’tazilah …..itu adalah fahaman Mu’tazilah moden sungguhpun mereka itu sebenarnya tidak sedar adalah ciri-ciri Mu’tazilah …bukan pada nama , tetapi pada cara pembawaan. Sebab itulah dalam tafsir-tafsir silam dan baru , termasuk Tafsir Al-Munir karangan Dr Wahbah Az-Zuhaili tetap memperkatakan soal-soal fahaman Mu’tazilah sebagai peringatan untuk manusia moden. Jangan berfikir macam Mu’tazilah.
Perkara kedua ialah Nik Aziz apabila mentafsirkan al-Qur’an , dia menggambarkan seolah-olah al-Qur’an adalah buku politik. Sebenarnya tidak perlu al-Qur’an dijadikan sebagai panduan politik , kerana apabila al-Qur’an ditafsirkan secara telus dan keseluruhannya ……ia merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia …termasuk berpolitik. Inilah yang dibimbangi yang masyarakat apabila mendengar tafsir al-Qur’an , ia seakan-akan wujud dalam soal kepartian. Walaupun begitu , Nik Aziz berjaya menyampaikan yang benar. Al-Qur’an itu hendaklah dilihat sebagai mesej keseluruhannya , bukan dipetik perkara-perkara yang perlu sahaja.
Setakat ini saya melihat hanya Nik Aziz yang mampu mengajar tafsir al-Qur’an di Malaysia ini. Seorang yang berjiwa bersih dan jujur sahaja yang boleh memperkatakan tentang wahyu Ilahi. Manusia yang berjiwa kotor hanya pandai menyebut nama al-Qur’an , tapi isi kandungan sebenarnya mereka tidak tahu.
Thursday, May 6, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment