==========
25 March, 2010
Pandangan Tok Guru Pondok Perihal Wahabi. nik aziz bagaimana?
IKUTI PANDANGAN TOK GURU PONDOK. KERAJAAN MALAYSIA MESTI BANTU PONDOK-PONDOK DAN TOK GURU-TOK GURU PONDOK YANG AHLI SUNNAH NGOTINik Aziz kian menyimpang?
KOTA BHARU 15 Feb. - Sikap Menteri Besar, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memperkecilkan sambutan Maulidur Rasul kerana menganggap ia tidak mempunyai fadilat disifatkan sebagai 'menyimpang'.
Pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa'amah berkata, ini kerana memperingati Nabi Muhammad merupakan sunat muakad yang tertinggi dalam menghayati sejarah serta perjuangan baginda yang dapat menginsafkan diri setiap umat Islam.
Sehubungan itu, beliau menganggap sebarang pandangan yang menganggap hari keputeraan baginda itu tidak perlu disambut sebagai bertentangan dengan akidah.
"Dia termasuk dalam orang yang mengharamkan ijtihad kerana hukum ini ialah dalam empat perkara iaitu al-Quran, hadis, sunnah dan kias (ijtimak ulamak).
"Siapa yang menolak ini tak bolehlah kerana boleh diibaratkan macam sesat jadi bila sesat wajib kita tentang," ujar beliau di sini hari ini.
Abdullah yang lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Lah mengulas mengenai kenyataan Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas mengenai sebab utama Maulidur rasul tidak disambut di negeri ini.
Ketika ditemui semalam, Nik Abdul Aziz berkata, bulan Maulud tidak mempunyai fadilat dan sebarang kelebihan berbanding bulan Ramadan.
Bagaimanapun beliau berkata, corak pentadbiran yang diamalkan kerajaan negeri telah menerapkan nilai Maulud yang sebenarnya.
Abdullah menjelaskan, Maulidur rasul perlu disambut sebagai tanda orang Islam menyayangi baginda dan mengeratkan hubungan kerohanian antara baginda dengan umatnya.
Tegasnya, Allah sendiri memuliakan nabi maka adalah sunat bagi umat manusia turut meraikan hari kelahiran baginda.
"Apa ini maulud..maulud merupakan perhimpunan untuk memuji dan memperingati hari kelahiran nabi dengan mengadakan jamuan sedekah dan membaca kisah-kisah mengenai nabi.
"Nabi tak pernah larang dan tak pernah suruh tetapi zaman sahabat baginda dulu mereka meraikan kedatangan maulud dengan cara itu," tegas beliau.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0216&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_10.htm&arc=hive
=========
KOMEN SAYA (1) :
Sekarang saya melihat UMNO menggunakan senjata ugama untuk menghentam Nik Aziz …kononnya dia mendokong fahaman Wahabi , maka dia menjadi favorite bagi UMNO memaki dia. Jika kita marah kepada Wahabi , janganlah kita marah kepada Nik Aziz seorang ….banyak lagi tokoh-tokoh yang berfahaman Wahabi yang mempengaruhi masyarakat Melayu.
Sebagai contoh yang paling jelas ialah Dr HAMKA penyusun kitab tafsir “Al-Azhar”. Dr HAMKA adalah seorang tokoh yang memuji dan mengembang fahaman Wahabi di Indonesia dan Malaysia sudah berpuluh-puluh tahun lamanya. Dia amat sanjung kepada Ibnu Taimiyah yang menanam bibit-bibit yang melahirkan fahaman Wahabi. Dr HAMKA juga ada mempersenda guru-guru pondok sebagai kolot dan mundur.
Tapi buku-buku karangan Dr HAMKA tidak pernah diharamkan oleh UMNO. Ini kerana UMNO sendiri tidak faham apa itu fahaman Wahabi , sebab itulah ada di kalangan orang UMNO sendiri memuja Dr HAMKA sebagai tokoh ugama dan sastera. Dia pernah mendapat anugerah penghormatan daripada salah satu universiti di Malaysia.
Saya sendiri tidak suka kepada buku-buku Dr HAMKA kerana saya berpegang kuat kepada fahaman Ahlus Sunnah wal Jemaah. Kerana inilah saya menulis di sini mengkritik Dr HAMKA kerana dia adalah Wahabi. Dr HAMKA telah lama memecahbelah minda masyarakat Melayu di Malaysia , dari kerana itu juga buku-buku Dr HAMKA adalah merbahaya kalau mengikut kaedah TG Haji Abdullah Geting yang menyifatkan Nik Aziz sebagai kafir dan merbahaya.
Saya bukan Wahabi kerana pengajian saya adalah ala pondok dan mengkaji kitab-kitab lama tradisional dan memang saya sendiri benci kepada Nik Aziz. Tapi kita kena ingat …..Nik Aziz berkelulusan Universiti Al-Azhar yang menjadi wadah melahirkan ulama-ulama Wahabi. Begitu juga orang-orang seperti Dr Yusuf Qaradhawi , Dr Wahbah Az-Zuhaili dan Syeikh Muhammad Al-Tontowi , semua mereka itu dicap sebagai anasir-anasir Wahabi …ada juga mereka itu semua dilabel sebagai kafir !!!!
Kalau mahu melawan Wahabi , lawan semua ….bukan Nik Aziz seorang. Setahu saya , Nik Aziz BUKAN Wahabi. Dia mengajar kitab ahlus sunnah seperti “Ihya” Imam al-Ghazali dan “al-Tazkirah” Imam al-Qurtubi. Pada kebiasaannya , kalau mengikut hujjah TG Haji Abdullah , orang Wahabi yang dia tuduh Nik Aziz adalah Wahabi …tentu sekali Nik Aziz amat benci kepada kitab “Ihya” Imam al-Ghazali . Cuma saya pernah dengar Nik Aziz berkata bahawa dalam kitab “Ihya” Imam al-Ghazali mempersembahkan hal mengenal sifat-sifat Tuhan caranya tersendiri , bukan cara Sifat 20.
Kalau saya hendak mengkritik Nik Aziz …satu kesilapan Nik Aziz ialah dia tidak setuju cara masyarakat Islam belajar mengenal sifat-sifat Tuhan mengambil cara belajar Sifat 20. Itu fahaman Nik Aziz yang mana dia dilabel sebagai pro-Wahabi. Nik Aziz juga berhujjah jika tidak belajar cara Sifat 20 adalah salah , jadi kitab “Ihya” Imam al-Ghazali boleh dikira salah kerana tidak menyebut Sifat 20 ?
Sebagai contoh , persoalan ayat-ayat al-Qur’an yang menyatakan Tuhan mempunyai “tangan” ….Wahabi tidak suka menta’wil maksud “tangan” adalah kekuasaan seperti dipegangi oleh pihak ASWJ. Wahabi membiarkan maksud dzahirnya “tangan” adalah tangan. Nik Aziz mentafsirkan begini … Ya , adalah golongan yang kata tangan Tuhan adalah tangan yang hakiki mengikut kaedah lughah (bahasa) TAPI tangan Tuhan TIDAK serupa tangan manusia. Mentafsirkan ayat mengikut makna dhazirnya adalah lebih “al-aslam” yaitu lebih selamat segi aqidah (mengikut fahaman Wahabi). Dan Nik Aziz ada juga menyebut bahawa ulama khalaf menta’wil makna “tangan” sebagai kuasa.
Setahu saya , Nik Aziz tidak pernah buat kenyataan bahawa dia menyokong pendapat Wahabi. Dia hanya menyebut …ini pandangan Wahabi dan itu pandangan ulama khalaf.
Kalau siapa yang rajin mentelaah kitab-kitab tafsir pro-Wahabi seperti “Tafsir Hadaiq ar-RuH wa ar-Raihan” yang terdiri daripada 32 jilid memuatkan kebanyakan hujjah kitab-kitab tafsir dalam bahasa Arab yang mu’tabar …termasuk kedua-dua golongan ASWJ dan Wahabi ….diadakan perbandingan antara dua pandangan …tapi Wahabi tetap menyebut “al-aslam” berkenaan ayat-ayat tertentu berhubungan dengan tangan , mata Tuhan dsbnya. Ulama Wahabi TIDAK mencaci fahaman ASWJ , dan mereka percaya fahaman mereka adalah lebih selamat.
Baru-baru ini Prof Mahmud Zuhdi telah dianugerah sebagai tokoh Maulud Nabi 2010 oleh kerajaan Malaysia , kenapa orang tidak mempersoalkan adakah dia Wahabi atau tidak ? Setahu saya memang Mahmud Zuhdi adalah Wahabi kerana dia memuja Ibnu Taimiyah. Mengikut TG Haji Abdullah Geting orang yang mendokong aliran Ibnu Taimiyah adalah kafir.
Setahu saya ….Dr Mahathir Muhammad sendiri pernah menyebut nama Ibnu Taimiyah sebagai ulama yang dia sanjung …..waktu itu tidak ada ulama UMNO yang berani berkata Dr Mahathir adalah kafir !!
Tahukah anda , ada juga ulama-ulama Wahabi yang ekstrim seperti Syeikh al-Fauzan , Syeikh al-Uthaimin dan Syeikh Bin Baz yang kadang-kadang lantang mengkritik ulama-ulama ASWJ seperti Ibnu Hajar al-Asqolani dan Imam an-Nawawi,. Itu mengikut fahaman fanatik Wahabi mereka. Tapi pada zaman akhir-akhir ini , keadaan sudah menjadi sedikit kendor. Anda boleh pergi ke Jeddah , Arab Saudi dan membeli kitab-kitab ASWJ secara bebas tanpa sekatan.
=============================
KOMEN SAYA (2)
TG Haji Abdullah Geting dalam ceramah-ceramahnya telah mengisytiharkan Nik Aziz Nik Mat sebagai kafir kerana menganut fahaman Wahabi. Kalau begitu Mekkah sekarang sedang dikuasai kafir Wahabi ...kenapa UMNO tidak mengajak kita membuat tunjuk perasaan di Kedutaan Arab Saudi unuk mengahalau ulama-ulama Wahabi keluar daripada Kota Mekkah kerana mereka adalah kafir belaka ?
Yang tidak adil ialah TG Haji Abdullah hanya kata kepada Nik Aziz itu kafir sedangkan kerajaan Malaysia pimpinan UMNO tidak berani berkata kerajaan Arab Saudi adalah kafir ?
Fasal menyambut Maulid Nabi , saya boleh faham maksud Nik Aziz. Itu sekadar fahamannya sahaja. Sambutan maulid sebenarnya ada fadhilatnya , ia sudah lama diamalkan tapi adakah sekadar ketika menyambut maulid kita ingat kepada ajaran Nabi ? Sedangkan manusia yang zalim , pembohong , penipu dan kianat ada juga yang sambut maulid. Jika maulid itu disambut secara hakikatnya ...harap-harap manusia yang jahat akan berubah dan adakah mereka sanggup berubah kerana menyambut maulid ?
Seorang penceramah UMNO berkata adalah tidak baik dan biadap dalam ceramah bulan maulid kita gunakan kata kesat , memaki hamun ketika bersyarah. Jika kita mendengar cermamah TG Haji Abdullah Geting , dia sebut ...Nik Aziz binatang , kafir , mencarut dsbnya dan disambut dengan tepuk gemuruh orang UMNO ...adalah itu sambutan maulid Nabi ?
Adakah TG Haji Lah Geting mencontohi akhlak Nabi dan betulkah itu cara dia menyambut maulid ? Dia bersyarah dalam majlis maulid Nabi ...dia berselawat dalam majlis maulid dan kemudian memaki Nik Aziz.
Ini bukan fitnah ..tapi benar
==========
KOMEN SAYA (3):
Saya hendak tambah penjelasan. Saya adalah seorang pendokong kuat fahaman Ahlus Sunnah wal Jemaah (ASWJ) yang ulama-ulama silamnya yang saya kaji kitab-kitab mereka adalah seperti Al-Baijuri , An-Nawawi , Fakhruddin ar-Razi, Al-Ghazali, Saiyid Murtadha az-Zabidi, as-SayuTi, al-Alusi, dan ramai lagi. Dari kalangan ulama-ulama ASWJ zaman kini yang saya minati ialah Ustaz Uthman el-Muhammadi , Said Ramadhan al-Buti , Said Hasan as-Saqqaf , Syeikh Muhd Ali as-Sobuni dan lain-lain.
Bahkan saya ada juga meminati TG Haji Abdullah Getting kerana dia adalah seorang tokguru yang berkemampuan mengajar kitab-kitab lama khusus Usuluddin. Cuma saya tidak bersetuju dengan dia apabila berceramah dia menggunakan kata-kata kesat dan kurang beradab. Kesilapan TG Haji Abdullah Getting ialah ia terlalu emosi dan cepat menjadi panas berang. Sebab itulah dia boleh hilang pertimbangan akal dan merusak majlis ..samada dalam ceramah PAS maupun UMNO.
Jika saya senaraikan nama tok-tok guru zaman ini di Malaysia yang saya kagum keilmuannya dalam perkara Usuluddin dan fekah Mazhab asy-Syafie ….tentulah saya menjulang nama Tuan Guru Haji Abdullah Getting , seorang tok guru Pondok Geting. Kebetulan dia adalah juga seorang kenalan saya dan saya menulis hal ini ….dia seorang ulama kitab-kitab tradisional yang hebat tapi tidak dapat mengawal emosinya.
Bolehjadi orang akan berkata saya telah membuat fitnah terhadap seorang tokguru.
Saya minta orang UMNO berusaha mencari mana-mana rakaman video ceramah TG Haji Abdullah Geting dan sila buat CD dan sebarkan atau tayangkan dalam YouTube ….versi penuh dari awal hingga akhir tanpa di-edit. Tentu tuan-tuan akan bersetuju dengan saya. Pihak akhbar pula yang melapor dalam akhbar mereka perkara yang telah disunting …seolah-olah tidak mahu orang-orang di luar Kelantan tahu apa isi ceramah TG Haji Lah Geting itu.
Silalah pihak UMNO mempromosikan ceramah-ceramah TG Haji Lah Geting dalam bentuk video CD atau di kaca TV , saya rasa ada dikalangan orang UMNO tidak bersetuju kerana itu akan memberi gambaran yang buruk kepada UMNO sendiri.
No comments:
Post a Comment