Di sini saya menulis darihal berpolitik dan kehidupan sebagai seorang Islam. Kita sudah maklum bahawa ajaran-ajaran Islam adalah syumul meliputi segenap penjuru hidup. Tidak ada tempat dan masa yang satu ketika seorang itu boleh mengasingkan Islam daripada hidupnya. Islam adalah agama fitrah dan apa saja gerak geri manusia dicatit sebagai amalan baik-buruknya walaupun sebesar zarah. Hendaklah kita fahami perkara ini sebagai satu aqidah.
Persoalannya , adakah kita menjalani kehidupan kita perlu berpolitik ? Atau berpolitik itu sebahagian daripada Islam ? Untuk membuat gambaran secara rengkas , saya hendak gambarkan tentang perkara masuk tandas. Tandas adalah tempat yang busuk tapi kalau kita masuk tandas , Islam ada mengajar tentang adab-adabnya. Hendaklah kita masuk tandas melangkah dengan kaki kiri , dan keluar tandas pula dengan kaki kanan. Hendak kita pakai benda yang boleh menudung kepada , hendaklah kita jangan mengadap kiblat ketika buang air kecil atau besar , disunnatkan kita baca doa-doa tententu. Itu tempat yang busuk , ada saja ajaran Islam.
Berpolitik adalah bersiasah dalam ertikata kita mahu membuat sesuatu gambaran supaya menjadi perhatian orangramai. Berpolitik juga mempengaruhi orang supaya menyokong kita dan setuju dengan kita dengan segala tindak tanduk dan gerak geri kita. Matlamatnya supaya mendapat kuasa dan pengaruh. Itu adalah perkara fitrah manusia.
Nabi Muhammad ketika mula-mula sebelum beliau masuk menakluki Mekkah , beliau pada waktu malam menyuruh para sahabat menyalakan unggun-unggun api yang banyak supaya penduduk Mekkah yang masih kafir menyangka bilangan tentera Islam adalah terlalu ramai yang mereka penduduk Mekkah tidak terdaya melawan tentera Islam. Itu adalah satu helah Nabi berpolitik (bersiasah) agar tentera Islam dapat menakluki Mekkah secara aman tanpa menumpah darah peperangan.
Kalau berpolitik untuk mendapat kuasa bagi matlamat amar-ma’aruh dan nahi mungkar apa salahnya ? Renungkan apa yang diajarkan oleh al-Qur’an sendiri ketika Nabi Lut berkata ketika rumah dan keluarganya diserang oleh kumpulan ramai orang yang mungkar :
Nabi Lut berkata : “ Kalaulah aku ada suatu kekuatan (untuk menentang kamu ) , atau aku dapat bersandar kepada suatu pertahanan yang kuat ( tentu aku akan melawan kamu ) …..{ Surah Hud (11) : 80 }
Ayat di atas menggambarkan betapa Nabi Lut , sebagai fitrah manusia mahu melawan kemungkaran dan puak yang zalim tapi tidak terdaya. Dia mengandaikan kalaulah dia ada satu pasukan , puak atau kekuatan yang boleh menyebabkan Nabi Lut melawan manusia yang zalim. Dalam konteks hari ini , boleh juga dikiaskan sebagai mencari kuasa politik menentang kezaliman dan kemungkaran.
Masjid adalah tempat berhimpun orangramai. Apa salahnya jika kita bercakap tentang ayat-ayat Qur’an berkenaan Fir’aun , Yahudi dan lain-lain watak yang zalim dan sesat. Al-Qur’an mengandungi kisah-kisah para Nabi dan semua itu adalah bukan sekadar cerita zaman dahulu sahaja , bahkan ada mesej-mesej tertentu untuk diambil i’tibar pengajaran. Kalau Fir’aun adalah ibarat raja zalim dan kufur zaman silam …pada zaman moden ini masih ada watak-watak pemimpin macam Fir’aun. Apa Fir’aun buat ? Dia mahu menghukum Nabi Musa di mahkamahnya yang berat sebelah padahal Nabi Musa telah membunuh orang Qibti Mesir tanpa sengaja. Tapi dalam mahkamah Fir’aun …dialah yang menjalankan perjalanan perbicaraan dan tentu sekali Nabi Musa akan dihukum bunuh.
Seorang ahli politik yang masuk masjid boleh dikira dia sudah berpolitik dalam mesjid , walaupun dia tidak bercakap sepatah fasal politik atau berceramah. Gerak gerinya berada dalam masjid adalah dia berpolitik secara tidak langsung. Dia menunjukkan dia khusyu’ dan bersopan dalam masjid adalah cara dia berpolitik. Orangramai melihat dan menilainya. Mungkin atas ukuran inilah dia layak dipilih menjadi pemimpin. Orang melihat wataknya sebagai orang beriman. Cara dia berpakaian , cara dia bergaul …sahlah dia mahu orang lihat dia adalah seorang ahli politik yang baik. Mahu tidak mahu dia sudahpun berpolitik atas masjid. Apa saja apabila berada di atas masjid malaikat menulis segala amalan kita. Adakah kita khusyu’ dan takut kepada Allah hanya ketika berada atas masjid ?
Apa kata ….orang politik itu keluar masjid, kemudian dalam kepala otaknya merancang pelbagai program maksiat , melakukan menipuan kerana politik dan kembali berfikir …politik suku ….ugama suku ? Maksudnya dia sokong orang yang menghalalkan judi , dia fikir apabila di luar masjid perkara dosa-pahala tidak boleh diambil kira lagi kerana itu perkara remeh-temeh , dan politik adalah kotor dan dia boleh berbuat apa saja ? Ketika itu perkata takut kepada Tuhan tidak ada lagi kerana dia sudah berada luar masjid ?
Saya pernah mendengar seorang wakil rakyat UMNO memberi penerangan dalam masjid tentang subsidi-subsidi kerajaan kepada orang kampong. Dia berbuat begitu selepas sembahyang Juma’at kerana di atas masjid ialah tempat ramai orang berhimpun. Sungguhpun orang UMNO itu tidak berniat bercakap politik , tapi orang-orang PAS dalam masjid fikir dia berkempen politik.
Dalam Islam , apa saja kita buat , perkara mengajak kepada ugama yang benar adalah yang paling utama. Ambillah i’tibar pengajaran ketika Nabi Yusuf berada dalam penjara ketika dia ditanya oleh 2 orang banduan sebiliknya tentang ta’bir mimpi :
Berkata Nabi Yusuf : “ …wahai sahabatku berdua yang berada dalam penjara ! Memuja dan meyembah berbilang-bilang tuhan yang bercerai-berai ataukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan Yang Maha Esa lagi Mahakuasa ? ….” { Surah Yusuf (12) : 39 }
Berkata Nabi Yusuf pula kepada salah seorang banduan yang bakal dibebaskan : “ ……sebutkan perihalku kepada tuanmu ….” { Surah Yusuf (12) : 43 }
Dalam ayat Surah Yusuf (12) : 39 menyatakan bahawa Nabi Yusuf mengambil kesempatan berda’wah terlebih dahulu sebelum beralih kepada menjawab soalan-soalan tentang ta’bir mimpi. Tujuan Nabi Yusuf ialah menyampaikan amanah Islam supaya mesej Islam dinyatakan terlebih dahulu kepada orang bukan Islam sebelum beralih kepada topik sampingan. Nabi Yusuf tidak terus menerangkan ta’bir mimpi kerana ketika disoal , dia mengambil peluang yang baik untuk berda’wah. Ini kerana 2 orang banduan Mesir melihat Nabi Yusuf seorang yang jujur dan beramanah dan kata-kata Nabi Yusuf boleh dipercayai walaupun mereka berlainan ugama.
Perhatikan juga dalam ayat dalam Surah Yusuf (12) : 43 menggambarkan bahawa Nabi Yusuf mengambil kesempatan berkempen bahawa Nabi Yusuf tidak bersalah tapi dipenjarakan secara tidak adil kerana difitnah. Nabi Yusuf berharap dengan itu dia akan diadili secara yang telus dan diberi pembelaan yang sewajarnya.
Akhir sekali ….ketika hampir selesai saya menulis artikel ini , saya letak sebuah tafsir al-Qur’an yang sedang saya gunakan atas hujung katil kerana komputer saya berada berdekatan dengan katil. Tiba-tiba datang isteri saya yang mengantuk dan naik tidur atas katil itu. Dia sudah terlena dan tidak sedar yang di hujung kakinya terletaknya tafsir al-Qur’an. Itu adalah haram hukumnya ! Dan saya cepat-cepat mengalihkan tafsir al-Qur’an ke tempat yang lebih sesuai. Dan saya beristighfar atas perbuatan tidak sengaja itu. Walau bagaimanapun ….mengikut kaedah al-Qur’an :
“ Dan serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik ….” { Surah an_Nahl (16) : 125 }
No comments:
Post a Comment