Wednesday, May 12, 2010

Mereka Menjadi Sumber Inspirasi

Saya rasa ada orang yang tertanya siapakah yang menjadi  guru-guru ugama yang saya belajar ? Ini cerita yang panjang dan saya akan sebut perihal mereka tertentu  secara rengkas.  Semoga ia menjadi satu kenangan yang manis sejarah hidup saya belajar dan bermuzakkarah dengan mereka. 


Saya mulakan dengan menyebut bahawa saya rasa bertuah kerana dilahirkan di Kelantan dari segi sejarah dikenali sebagai serambi Mekkah. Pada zaman dahulu Kelantan menjadi tempat tumpuan tempat belajar ugama kerana terdapat banyak pondok-pondok pengajian , ibarat tanah suci Mekkah kerana terdapat ramai ulama-ulama ASWJ yang mengajar kitab-kitab tradisional.
Sejak 35 tahun dahulu ketika saya baru memeluk Islam , perkara yang paling penting dalam hidup saya belajar dan beramal. Tentu sekali saya berguru dengan ramai tok-tok guru yang terkenal dan mursyid. Antara mereka ialah :
NIK AZIZ  yang ketika 35 tahun dahulu dia pernah mengajar di Masjid Muhammadi , Kota Bharu. Saya berulang-alik setiap minggu ke Masjid Muhammadi mendengar beliau mengajar tafsir al-Qur’an dan Hadith. Saya terpikat denagn Nik Aziz kerana keilmuannya bukan kerana dia seorang tokoh politik.  Cara dia mengajar tafsir al-Qur’an ialah gaya seorang yang luas ilmu lughah bahasa Arab dan matang dalam ilmu nahu Arab. Saya berkata begini kerana ketika itu saya masih lagi mentah dalam ilmu lughah dan nahu. Nik Aziz apabila dia mula menafsirkan satu-satu ayat al-Qur’an , dia akan huraikan kalimah-kalimah al-Qur’an yang diberi makna dari segi bahasa , kemudian dia ada juga menyebut kaedah dan peraturan nahu bahasa Arab , menyebut asbabul-nuzul , sirah nabi , isu semasa tempatan dan isu semasa global. Ibarat-ibarat dan perbandingan seharian adalah senang difahami dan menyentuh dalam ke dalam lubuk jiwa …yang Nik Aziz memberi  penekanan kepada fiqhud-dakwah (cara-cara berdakwah dan menjawab tentangan musuh-musuh Islam). Jika Nik Aziz menggambarkan suasana neraka , kita akan merasa bahawa seolah-olah kita melihat neraka itu sendiri dan amat gerun sekali. Jika Nik Aziz menghurai tentang suasana syurga , kita akan merasa penuh harapan semoga Tuhan mengampun kita dan masukkan kita ke dalam syurga.
Antara kelebihan Nik Aziz ialah beliau mampu mengajar kitab Ihya’ Ulumiddin karangan Imam al-Ghazali dalam teks bahasa Arab. Amat jarang sekali orang di Malaysia ini berkemampuan mengajar teks ini dalam bahasa Arab. Beliau seorang yang “tabahhur” (ibarat lautan) dalam ilmu lughah. Beliau kadang-kadang menyebut petikan nahu matan al-alfiah menghiasi kuliah-kuliah ugama dan mengajar teks-teks kitab.
Walaupun orang kata Nik Aziz berfahaman “kaum muda” tapi saya pernah dengar dia berceramah mengatakan bahawa dia menggalakkan orangramai belajar kitab-kitab mazhab asy-Syafie (kitab-kitab tua) dan faham dan beramal ….sungguhpun Nik Aziz sendiri adalah tidak bermazhab asy-Syafie.
UTHMAN EL-MUHAMMADI adalah guru dan sahabat baik saya. Dia banyak mebantu saya dalam perkara mempelajari bahasa Arab serta Nahu. Beliau memberi semangat untuk belajar dan memandu saya dalam memilih buku-buku yang baik dan sesuai. Dia ada juga mengajar kitab Ihya Imam al-Ghazali macam Nik Aziz.  Tapi dia menggunakan kitab syarah Ithaf Saadat al-Muttaqin.Saya belajar banyak perkara-perkara aqidah Ahlus Sunnah wal Jemaah. Sebab itulah saya mengikut jejaknya mempertahankan fahaman ASWJ dan pengajian secara traditional. Inilah satu sebab saya amat terhutang budi kepada Uthman el-Muhammadi….antara guru agama yang amat saya sanjungi.
Beliau banyak memperbetulkan fahaman saya tentang ilmu tasauf. Oleh kerana dia adalah seorang yang pakar tentang hal-hal tasauf yang dalam , maka dia mengajar saya supaya tidak mencemuh tokoh-tokoh sufi zaman silam seperti Ibnu Arabi dan al-Hallaj kerana kita kurang faham mereka.
HJ ISMAIL YUSUF adalah bekas mufti Kelantan dan nasihat-nasihatnya kepada saya telah memberi kesan yang mendalam dalam hidup saya. Kebetulan dia adalah peminat ilmu tasauf dan gambaran yang baik dia beri kepada saya tentang tasauf bawatin ….perkara dalam-dalam tidak boleh diukur dengan yang dzahir pada mata kasar. Antara kata-kata beliau yang tetap segar dalam ingatan saya ialah beliau berkata …..”sesiapa yang kenal siapa yang boleh mengajar kitab fekah Fathul-Wahab , sila datang berjumpa dengan saya kerana saya bersedia member dia tauliah mengajar kitab itu.” Maksudnya …. pada zaman dia masih hidup , yaitu 30 tahun dahulu dia sedar bahawa semakin sedikit ada tokguru yang boleh mengajar kitab-kitab mu’tabar secara tradisional.  Apatah pula pada zaman ini , orang-orang yang berkemampuan mengajar kitab-kitab semakin berkurangan.
Satu hal yang saya amat berterima kasih kepada bekas mufti  itu ialah beliau pernah menasihati  saya supaya memperluaskan bacaan bahan-bahan dalam bahasa Arab , bukan setakat belajar daripada kitab-kitab sahaja. Ini bermakna saya kena baca majalah Arab , suratkhabar Arab , buku-buku cerita dalam bahasa Arab dsbnya
MAHMUD ZUHDI  adalah menantu kepada Almarhum Hj Ismail Yusuf , bekas mufti  Kelantan yang telah saya sebut berkenaannya. Dia adalah kawan dan kenalan lama . Dia juga membantu saya dalam mendalami bahasa Arab. Kebetulan saya pernah hidup berjiran dengan saya di Kampung Sireh , Kota Bharu. Dia member bahan-bahan bacaan kepada saya termasuk majalah dalam bahasa Arab. Dia pernah meminjam kitab-kitab tafsir dan fekah kepada saya. Kadang-kadang saya ada bertanya beliau tentang nahu dan syair Arab. Antara syair arab yang tetap menjadi kenangan bagi saya ialah saya minta dia membaca syair yang berbunyi :
‘Alaa maa qaama yashtumunee laiem
Ka_khinzir(in)  tamarragha  fee ramaad
Maksudnya :
Atas apakah dia berdiri memakiku seorang pencela
Seperti seekor khinzir yang berguling atas debu.
Mahmud Zuhdi membaca syair itu dalam bahasa Arab kerana saya meminta dia membacanya. Itu menjadi satu kenangan ..satu perpautan dan ingatan persahabatan yang kekal abadi. Syair itu meniupkan nafas ke dalam diri saya bahawa saya sedia menghadapi cabaran masa depan yang sukar dan jauh. Sehingga hari ini ..setiap kali kali saya membaca syair Arab itu , orang yang bernama Mahmud Zuhdi timbul dalam ingatan saya. Terima kasih atas segala-galanya. Tuan telah memberi saya satu keindahan hidup ..betapa indahnya bahasa Arab dan nahu bahasa Arab.
HJ MOHD NOR IBRAHIM adalah almarhum bekas mufti Kelantan juga. Dia seorang yang tegas dan antara nasihat atau ajaran yang memberi kesan yang mendalam dalam hidup saya ialah dia pernah menyebut tentang orang zaman sekarang yang mendakwa diri mereka mahu berijtihad. Kata beliau bahawa Imam as-Sayuti pernah membayangkan  dirinya bertaraf seorang mujtahid dalam syair-syairnya. Tapi ulama di zaman dia tidak mengi’tiraf dia adalah seorang mujtahid. Ini kerana darjat Imam as-Sayuti seorang tokoh ulama yang telah menghafal berpuluh-puluh ribu hadith , seorang pakar nahu dan lughah , seorang yang menguasai fan-fan (jenis-jenis) keilmuan tapi para ulama sangsi adakah dia layak digelarkan sebagai seorang mujtahid.
Tuanguru Hj Mohd Nor Ibrahim juga adalah contoh seorang ulama yang kita pada zaman ini telah kehilangan ibarat tidak berganti …seorang yang berkemampuan mengajar kitab Hasyiah al-Khafaji (syarah tafsir al-Baidhawi). Beliau juga berkemampuan mengajar kitab Ihya’ Ulumiddin Imam al-Ghazali.
Banyak lagi guru-guru yang menjadi sebahagian hidup saya menjadi seorang yang menimba ilmu sepanjang masa. Di sini saya merakamkan penghargaan dan tabik hormat kepada mereka semua. Walaupun ada di kalangan berbeza fahaman tapi saya doakan mereka semua mendapat tempat yang mulia di sisi Allah dan diketemukan kelak dalam Syurga . InsyaALLAH.
            

No comments:

Post a Comment