Dipetik drp laman Blog :
http://al-ghari.blogspot.com/2009/11/jangan-segan-untuk-berkata-aku-tidak.html
===============
Dari AbduLLah ibn Amr radiyaLLahu ‘anhu bahawa RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud :
ALLah subhanahu wa ta’ala tidak akan mengangkat ilmu pengetahuan dengan cara mencabutnya dari hati ulama, tetapi dengan cara mematikan mereka, dan jika sudah tidak ada lagi seorang ulama yang masih hidup, maka manusia akan mengangkat pemimpin di kalangan orang-orang yang jahil (bodoh), jika (para pemimpin tersebut ditanya tentang kemusykilan agama) maka mereka akan berfatwa tanpa dasar ilmu, dengan itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadith di atas memberi pengertian yang besar kepada mereka yang berani membuat fatwa atau menjatuhkan hukum tanpa ilmu. Entah berapa ramai sekarang ini yang apabila ditanya tentang sesuatu soal agama walaupun tanpa ilmu terus mudah dari lidah dan jarinya mengeluarkan 'fatwanya' sendiri. Malahan ada yang hanya belajar melalui buku sahaja tanpa pernah ada asas-asas kaedah untuk mengeluarkan hukum, terus mengatakan itu halal, ini haram. Engkau masuk ke syurga, dan dia masuk neraka.
Bayangkan seorang yang jahil dalam ilmu kedoktoran kemudian apabila ada pesakit yang selsema dan ia mengatakan pesakit ini harus dibedah perutnya. Inilah kerosakan yang telah dibuat.
Fahamlah, rupanya proses untuk mengeluarkan fatwa itu sendiri bukanlah senang. Kerana ulamak takut untuk mengeluarkan hukum tanpa hak.
Salah seorang ulama yang sezaman dengan Imam Ahmad pernah ditanya orang :
"Jika seseorang sudah dapat menghafal seratus ribu hadith, dapatkah ia dikatakan sebagai faqih...? "Tidak...!", jawabnya. "Dua ratus ribu hadith..?" "Tidak..!.. katanya. "Tiga ratus ribu hadith..?" "Tidak..! Jawabnya. "Empat ratus ribu hadith..? "Juga tidak..!, tetapi begini (iaitu lima ratus ribu) katanya sambil mengisyaratkan dengan sebelah telapak tangannya.
Dengan menghafaz hadith semata-mata belumlah dikatakan seorang faqih yang dapat mengeluarkan fatwa selagi ia tidak mempunyai kemampuan untuk memenuhi syarat-syarat lain untuk berfatwa. Selagi dia tidak mempunyai kemampuan ilmiah untuk membezakan antara riwayat yang maqbul (diterima) dan riwayat yang mardud (ditolak); antara yang sahih (baik) dan ma'lul (cacat). Demikian juga kemampuannya untuk mengambil hukum (istinbat) dan melakukan tarjih (menentukan riwayat mana yang lebih kuat); atau melakukan ta'luq (penggabungan) antara beberapa riwayat yang nampak berbeza, atau penggabungan antara nas-nas yang mengandungi beberapa pengertian dengan maqasid syar'iyyah dan kaedah-kaedah kulliyyah (umum).
Al Hafiz Al Khatib al Baghdadi meriwayatkan dalam kitabnya Al Faqih wa al Mutafaqqih Juz 2 Hlm 157 dari al Imam Syafi'i radiyaLlahu 'anhu berkata :
"Tidak dihalalkan bagi seseorang berfatwa mengenai agama Allah, kecuali seorang yang arif Kitab ALlah (al Quran), Nasikh Mansukh, Muhkam dan Mutasyabih, Ta'wil dan Tanzil, Nasikh dan Makkiyah dan Madaniyahnya; Apa yang dimaksudkan dengan satu-satu ayat; dalam masalah apa ia diturunkan. Selain itu, dia juga mesti menguasai hadith RasuluLlah s.a.w; Nasikh dan Mansukhnya; Pengetahuannya mengenai hadith Nabi s.a.w mesti setaraf pengetahuannya mengenai al Quran. Dia mesti juga menguasai Bahasa Arab; arif akan seluk beluk syair, dan disiplin ilmu yang lain yang diperlukan untuk memahami al Quran. Disamping itu, dia juga mesti menahan diri daripada (seronok) bercakap. Dia dituntut juga untuk memahami perbezaan pendapat di kalangan para ulama, selain harus memiliki kemampuan atau kepakaran dalam mengambil ketentuan hukum (istinbat). Jika semua syarat-syarat ini telah dimilikinya, maka barulah boleh baginya bercakap dan berfatwa tentang halal dan haram.
Namun jika belum sampai pada darjat ini, dia hanya boleh membincangkan tentang ilmu pengetahuan, tetapi tidak dibenarkan untuk berfatwa."
Sukarkah Mengatakan "Aku Tidak Tahu" ?
Ulamak salaf (ulamak yang hidup di kurun ke 3 dan sebelumnya- kurun yang terbaik) melarang keras orang yang berani mengeluarkan fatwa tanpa mempunyai ilmu dan persediaan yang cukup.
Alangkah, para ulamak muktabar yang benar-benar takutkan ALlah seperti Imam Malik pernah berkata :
Jika seseorang diminta untuk berfatwa, sebelum memberikan jawapan ia wajib meletakkan dirinya antara Syurga dan Neraka, serta memikirkan nasibnya di Akhirat nanti, kemudian baru boleh ia memberikan jawapan (mengeluarkan fatwanya)".
Ibn al Qasim berkata :
"Aku pernah mendengar Imam Malik berkata : "Saya sedang memikirkan (jawapan) bagi suatu kemusykilan sejak beberapa puluh tahun dulu, tetapi hingga saat ini belum juga sampai kepada pendapat yang pasti".
Ibn Abi Layla pernah berkata :
"Saya menemui seramai seratus dua puluh orang Ansar dari sahabat Rasul sallaLLahu 'alaihi wasallam, jika seorang di antara mereka diajukan pertanyaan (diminta berfatwa), ia akan mengalihkannya kepada yang kedua, dan orang yang kedua akan mengalihkannya kepada orang ketiga dan seterusnya. Sehingga pertanyaan tadi kembali kepada orang yang pertama. Jika salah seorang daripada mereka diminta untuk berfatwa atau ditanya tentang sesuatu masalah, ia akan memohon sahabat yang lain menjawabnya.
Fahamlah di sini, mengapa kita perlu menghormati ulamak muktabar yang terdahulu. Yang telah mengasaskan mazhab dan menulis kitab-kitab, mengajar anak muridnya untuk menyampaikan ilmu yang diajarnya kepada umat Islam yang lain.
Antara Maksum dan Orang Yang Berilmu
Ada pula laungan-laungan dari orang awam atau mereka yang bukan dari kalangan ulamak malahan yang baru menghafaz beberapa hadith mendabik dada mengatakan dirinya adalah tempat dijadikan rujukan. (Sedangkan rujukan dirinya hanya melalui internet semata-mata). Ingatlah bahawa ilmu dan akhlaq akan berjalan seiring. Orang awam seperti kita ini mengatakan pula 'ulamak tidak maksum' terutamanya tuduhan ini ditujukan kepada ulamak yang mengasaskan mazhab, ulamak seperti Imam asy Syafie, Imam Malik, Imam Hanafi dan Imam Hambali. Bahkan melekehkan pula orang yang mengikut mazhab yang disampaikan oleh ulamak-ulamak, ustaz ustazah dan guru-guru.
Ya, benar, ulamak tidak maksum (ada membuat dosa dan kesilapan). Tetapi berbanding dengan orang yang bercakap atau ustaz yang selalu memperlekehkan ulamak muktabar. Siapa pula yang lebih berilmu, lebih berkelayakan untuk mengeluarkan hukum? Ulamak yang lebih muktabar jauh lebih tinggi ilmunya, menguasai disiplin ilmu untuk membolehkan mereka mengeluarkan pendapat. Bahkan ulamak muktabar yang mampu berijtihad ia memperolehi 2 pahala jika benar ijtihadnya, dan 1 pahala jika ijtihadnya tersilap. Di sinilah adanya perbezaan yang besar di antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu, kurang ilmu, faham dan tidak faham, sempurna akal dan yang tidak, dan yang jahil. Sebagaimana firman ALlah :
قُلۡ هَلۡ يَسۡتَوِى ٱلَّذِينَ يَعۡلَمُونَ وَٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ (٩)
Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.
(Surah az Zumar : Ayat 9)
Imam Ahmad Ibn Hanbal r.a katanya : Seseorang tidak boleh menawarkan dirinya untuk berfatwa sebelum ada pada dirinya lima perkara :
Pertama : Mempunyai niat ikhlas. Sebab jika tidak ada niat (ikhlas) dia tidak akan mendapat cahaya (petunjuk) dalam melakukan fatwanya.
Kedua : Hendaklah dia mempunyai sifat kasih, rendah hati (tawadhuk) dan ketenangan jiwa.
Ketiga : Mempunyai keyakinan yang teguh dengan tugasnya dan memahami betul soalan yang sedang dihadapinya.
Keempat : Hidupnya dalam kecukupan, kerana jika tidak, dia akan dipengaruhi oleh orang yang berkepentingan.
Kelima : Mempunyai maklumat yang cukup tentang adat istiadat dan seluk beluk kehidpuan manusia. (Ibn Battutah, disalin oleh Ibn Qayyim dalam , I'lamul Muwaqqi'in' Juz 4 hlm. 199.
Terkadang terfikir juga penuntut ilmu yang cetek akhlaknya, atau mereka yang berfikiran suka melekehkan ulamak muktabar hanya memandang ulamak dari atas kertas sahaja. Mentang-mentang nama-nama ulamak itu sudah acapkali dilihat dan ditulis di dalam akhbar, majalah dan buku-buku, kitab-kitab yang banyak berlegar di pasaran. Mentang-mentang sudah belajar beberapa hadith sahih dan beberapa ilmu yang baru.
Semaklah sejarah semula, jangan dilipat sahaja adab-adab dan akhlaq ulamak muktabar, lihat bagaimana cara mereka berfikir sebelum mengeluarkan pendapat, jenguklah disiplin ilmu yang telah mereka kuasai sebelum berani mengeluarkan fatwa. Luaskan pandangan bagaimana ulamak mendidik jiwa mereka, melihat kepada keadaan, cara hidup dan budaya. Imam Syafie juga menghormati mazhab hanafi apabila datang ke tempat mereka yang mengikut mazhab tersebut.
Untuk akhirnya para fuqaha' selalu berkata "Sesiapa yang tidak pernah mengetahui dan mengerti perbezaan pandangan dan pendapat di kalangan fuqaha', bermakna dia belum sempat menghidu haruman fiqh..!
Friday, May 14, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment