Thursday, May 6, 2010

Nik Aziz Pada Pandangan Saya (3)

Siri penulisan saya tentang Nik Aziz ada pro dan kontra-nya. Ada ketika saya memuji Nik Aziz dan ada ketika lain pula saya mengkritiknya. Tapi hendaklah orang-orang yang membaca komen-komen saya bersabar dan terus membaca. Kali ini saya akan menggambarkan satu fenomena masyarakat PAS di Malaysia dan khususnya di Kelantan , yang kebetulan saya adalah kelahiran Kelantan.

Dalam sejarah dunia mana-mana tokoh atau pemimpin akan dipuja. Nik Aziz adalah ibarat seorang “spiritual leader” kepada orang-orang PAS. Ada orang PAS yang begitu fanatic terhadap Nik Aziz sehingga ada seorang kawan saya pernah dipukul sehingga berdarah kepalanya kerana secara lantang mengkritik Nik Aziz. Sama juga adanya yang fanatik UMNO pernah membaling kerusi terhadap seorang insan kerana mengkritik Dr Mahathir Muhammad.

Saya akan bicarakan fenomena masyarakat PAS memuja dan menyanjung Nik Aziz dibanding dengan masyarakat orang Mesir memuja Syeikh Mutawali asy-Sya’rawi. Dia ada menulis kitab tafsir al-Qur’an yang dikenali “Tafsir al-Sya’rawi”. Jika kita membaca buku-buku karangan ulama Mesir itu , kita akan mendapati beliau sentiasa memakai dan memetik kata-kata Ibnu Taimiyah. Mungkin orang-orang yang anti-Wahabi akan labelkan Syeikh Mutawali asy-Sya’rawi adalah Wahabi ? Ada orang kata dia bukan Wahabi dan pernah mengkritik fahaman Wahabi.

Masyarakat Islam di Mesir begitu kagum dengan Syeikh Mutawali asy-Sya’rawi sehingga dalam hidup harian mereka sentiasa menyebut apa kata syeikh itu. Dia adalah lambang kemegahan Islam di Mesir dan dia adalah satu benteng untuk menyekat kemasukan fahaman-fahaman ulama lain yang bercanggah dengan Syeikh Mutawali asy-Sya’rawi. Banyak peratus daripada masyarakat Mesir boleh dikira sebagai tidak berpegang kepada fahaman Ahlus Sunnah wal Jemaah yang tulin. Maknanya masyarakat Mesir ramai yang berfahaman ala Wahabi. Ramai ulama-ulama di Universiti al-Azhar sendiri adalah berfahaman Wahabi.

Maksud saya …..orang Mesir menjadikan Syeikh Mutawali asy-Sya’rawi sebagai benteng dan penaung fahaman Wahabi …..ini kerana dalam buku-buku dan kitab-kitab beliau ada mempertahankan Ibnu Taimiyah. Sebab itulah buku-buku karangan Syeikh Sayid Hasan as-Saqqaf tidak disenangi oleh masyarakat Mesir. Hasan as-Saqqaf sebenarnya seorang ulama ASWJ di Jordan. Dan buku-buku beliau tidak diberi sambutan yang hangat di Mesir kerana dia mengkritik fahaman Wahabi. Jika anda mencari buku-buku Hasan as-Saqqaf , anda akan mendapati sukar membelinya kerana orang-orang Arab di Timur Tengah sudah banyak peratus pro Wahabi dan banyak university-universiti telah ditaja dan dibiayai oleh wang minyak Saudi Arabia yang menjadi sarang-sarang Wahabi.

Kalau tidak silap saya ….Ahlus Sunnah wal Jemaah yang tulin hanya tinggal 10 % sahaja dalam dunia zaman ini. Zaman sudah berlalu dan Wahabi sudahpun menguasai alam dunia Islam. Kitab-kitab turath yang lama sudah diubahsuai supaya selari dengan fahaman Wahabi. Banyak syarikat-syarikat percetakan telah membuat “tahrif” (pengubahsuaian) , dibuang mana-mana barisan ayat yang ada mengkritik fahaman Wahabi. Atau diberi nota-kaki tambahan yang memberi penjelasan pandangan Wahabi , atau kitab-kitab lama karangan ulama-ulama ASWJ ditahqiq oleh pakar-pakar ulama Wahabi supaya menampakkan fahaman Wahabi adalah selaras dengan fahaman ASWJ , atau pandangan-pandangan Wahabi hendaklah diintegrasikan dalam kitab-kitab mu’tabar karangan ulama-ulama ASWJ zaman silam.

Jika pada zaman ini ada orang kata kitab Fathul Bari Syarah Sohih al-Bukhari adalah kitab ajaran sesat kerana pengarangnya , Ibnu Hajar al-Asqalani adalah seorang ASWJ , para intelek Islam tidak akan sokong pendapat itu , maka Wahabi akan mengubahsuai kitab asal Fathul Bari , dicetak semula atas biaya wang Wahabi supaya fahaman Wahabi boleh tumpang bersama macam parasit agar dibaca oleh semua ulama-ulama Islam tanpa syak-wasangka.

Kembali kepada Nik Aziz ….dia ada mengajar kitab “Ihya” karangan Imam al-Ghazali. Kitab ini termasuk senarai buku-buku yang tidak disukai puak Wahabi. Jika Nik Aziz boleh mengajar kitab ini dan menganjurkan masyarakat Islam mempelajari kitab “Ihya” ini , tentu sekali jiwa ke”Wahabi”an tidak wujud dalam hatinya. Orang Wahabi yang tulin tidak merestui kitab “Ihya” ini. Jika ada orang menuduh Nik Aziz adalah Wahabi , itu semata-mata tuduhan. Samada Nik Aziz Wahabi atau tidak , kita hanya berserah kepada Allah ……sebaik-baiknya ialah kita baik sangka terhadap Nik Aziz.

Jika kita menyoal …adakah wujud dikalangan pimpinan PAS orang-orang yang mendokong fahaman Wahabi ? Ya ….memang ada , tapi gerakan parti Islam PAS tidak suka mengungkit-ungkit perkara ini kerana akan timbul pembahasan yang penat yang akan menyukarkan perpaduan dikalangan ahli-ahli PAS.

Jika anda bertanya ..adakah orang yang bernama Abu Hasan Chan berfahaman ASWJ ? Ya…memang saya seorang ASWJ yang agak fanatik tapi saya tidak mengkafirkan orang Wahabi. Tok-tok guru saya tidak mengajar saya supaya menganggap Wahabi adalah kafir. Untuk belajar nahu bahasa Arab , saya ada juga mengguna kitab-kitab nahu karangan ulama-ulama Wahabi seperti al-Uthaimin dan al-Fauzan. Itu sekadar tumpang ilmu nahu mereka. Jika mereka ada mengulas perkara nahu untuk cenderung kepada fahaman Wahabi , maka saya sudah maklum itu adalah fahaman Wahabi dan saya tidak ambil kira kerana saya berfahaman ASWJ.

3 comments:

  1. Saya nampak anta seorang penganut aliran Asya'irah bukan ASWJ. Asyairah muncul selepas 3 kurun pertama hijrah. Pengasasnya juga asalnya menganut fahaman muktazilah; malah bergelumang selama 40 tahun. Beliau pada fasa terakhir hayatnya alhamdulillah telah kembali kepada manhaj ahli sunnah. Boleh kaji kitab2 terakhir beliau spt maqalat islamiyyin, al ibanah, risalah ila ahl saghar. fahaman asyirah skrg telah lari jauh dari fahaman aswj. alirah ini lebih cenderung kpd aliran jahmiyyah. anta proud mengkaji kitab2 lama/traditional. betulkah itu? kitab2 lama harus merujuk kpd kurun 1,2,3...dan seterusnya. Bukan yg ditulis di dalam kurun yg terkemudian; lebih2 lagi kitab2 nusantara yg hanya ditulis pada kurun 17,18. Ia kitab baru bukan kitab lama/traditional.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kerana membuat komen. Apa saja seorang itu mengaku berpegang kepada fahaman ASWJ ialah "mainstream" Islam ....yang mentauhidkan Allah dan percaya kepada sifat-sifatNya. Nisbah kepada fahaman Syiah , Qadiani , Ahmadi , anti-Hadith , dsbnya yang bukan termasuk fahaman ASWJ. Sebab itulah dalam Blog saya memuatkan semua aliran yang mengaku ASWJ , termasuk fahaman Wahabi dan Sufi.

    ReplyDelete
  3. Satu panduan yang saya ambil sebagai ukuran untuk tentukan siapakah ASWJ zaman kini ialah nasihat tokguru saya , almarhum Hj Md Nor Ibrahim , bekas mufti Kelantan.

    Ada ulama dalam ASWJ sendiri spt Mahmud Shaltut , Mustafa al-Maraghi , Dr Ahmad Shalabi , Dr Hamka yang tidak menerima hadith-hadith tentang turunnya Nabi Isa pada akhir zaman. Tokguru saya memberitahu bahawa begitu banyak hadith-hadith berkenaan itu dan hampir kepada darjat mutawatir.

    Katanya ...orang macam Mahmud Shaltut adalah termasuk dalam "mainstream" Islam tapi terkeluar daripada fahaman ASWJ.

    Kata saya pula ....orang macam Sayid Sabiq , pengarang buku al-Aqidat al-Islamiyah , termasuk dalam ASWJ kerana dia berpegang kepada hadith-hadith turunnya Nabi Isa pada akhir zaman , tapi dia cenderung kepada fahaman Ibnu Tamiyah , yang kita kira bukan ASWJ ?

    Sepanjang hidup saya berguru dan belajar , saya memilih tok-tok guru yang sudah established dan tidak ada keraguan yang mereka itu menganut ajaran sesat.

    Apabila saya menyebut kitab lama dan tradisional ...maksud saya ialah kitab-kitab yang sudah menjadi tradisi yang diajar oleh tok-tok guru dan tidak diharamkan oleh jabatan ugama. Ini adab belajar cara lama yang saya pertahankan ... Ia sebenarnya satu budaya Melayu lama. Ambil satu kitab lama ...belajar cara berguru , perkataan demi perkataan dan baris demi baris sehingga tamat satu kitab.

    ReplyDelete