Sunday, May 23, 2010

Kelantan perkenal 'pondok pelancongan'


9 Jamadil Akhir 1431H.


Kerajaan Kelantan akan memperkenalkan program perumahan bagi menempatkan penduduk tempatan atau dari luar negeri yang berkonsepkan 'pondok pelancongan', kata Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Beliau berkata program baru berkonsepkan pondok pelancongan ini berbeza dengan inap desa kerana penghuni boleh membeli dan mendiaminya dengan harga berpatutan untuk menuntut ilmu agama sebagai pemastautin tetap di situ sehingga ke akhir hayat.

Bagaimanapun, peserta tidak boleh menjadikan harta yang dimiliki dan dibeli itu sebagai pusaka apabila meninggal dunia.

Rangka pelan pembangunan projek itu sedang diperincikan sebelum dilaksanakan dalam tempoh terdekat, katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini selepas merasmikan perayaan Hari Guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di Balai Islam, Lundang.

Nik Abdul Aziz berkata tanah bagi tapak pembinaan projek itu sudahpun dikenal pasti di Kampung Kandis, Bachok, bagaimanapun keluasan dan kos pembinaan sedang diperincikan.

Selain itu, beliau juga bercadang memasukkan Pasti dalam kalendar lawatan ke Kelantan bagi membolehkan masyarakat dari luar negeri ini mempelajari kaedah pembelajaran dan pengajaran di pusat asuhan itu.

Nik Abdul Aziz turut meminta para dermawan supaya menghulurkan sumbangan kepada Pasti bagi membantu pusat itu menjalankan aktivitinya.
Sumber :
http://idhamlim.blogspot.com/2010/05/kelantan-perkenal-pondok-pelancongan.html
 
=============

KOMEN SAYA :

Orang kata kalau kita masukkan gambar Nik Aziz dalam Blog kita ....tentu sekali para pembaca akan fikir bahawa kita adalah orang fanatik PAS atau taksub kepada Nik Aziz. Memang dalam Blog saya ini ada ketika saya memuji Nik Aziz dan ada juga ketika lain saya mengkritik Nik Aziz.

Banyak orang mungkin kurang faham bahawa semenjak saya memeluk Islam lebih kurang 35 tahun dahulu , saya belajar di mana terdapat ramai orang menghadiri majlis-majlis ilmu . Saya dengar dengan teliti ...di majlis-majlis ilmu yang diajar oleh ulama PAS , UMNO , ABIM  dan Al-Arqam....kemudian fikir dan buat perbandingan. Ada orang kata tok guru itu ASWJ , tok guru itu Wahabi , tok guru itu Kaum Tua , Tok Guru itu Kaum Muda dan Syiah. Apa yang membentuk pendirian saya pada hari ini adalah hasil minda terbuka saya. Walau bagaimanapun saya memilih satu jalan yang tetap ....the "mainstream" Islam ....aliran Islam yang dituruti oleh kebanyakan ummat Islam seluruh dunia.

Pada ketika ini apabila membaca tajuk dalam berita yang berbunyi "Kelantan perkenal 'pondok pelancongan'" saya ucapkan .....THANK YOU , Tok Guru Nik Aziz .

Barangkali ramai orang-orang Melayu di Malaysia ini ....khususnya di Tanah Melayu ..tidak begitu mengerti apa maksud saya. Bergini ceritanya ...nenek moyang saya berasal daripada negeri China . Saya dilahirkan berketurunan China dan sentimen saya sebenarnya ialah keMelayuan. Saya cintakan budaya Melayu , suka bercakap dan menulis dalam Bahasa Melayu. Tuan-tuan orang Melayu gambarkan sendiri , seorang anak Cina yang baru memeluk Islam yang semenjak umur mudanya sibuk mendalami ilmu. Saya masih boleh terbayang ramai orang Melayu memandang wajah saya dalam majlis-majlis ilmu , ada yang menunjukkan rupa serius , ada yang berbisik-bisik seketika , mungkin mereka berkata sesuatu tentang saya , tapi itu semua tidak penting. Apa yang penting ialah menghapuskan kejahilan dalam diri kita.

Saya sudah terlupa bagaimana saya mula belajar membaca tulisan Jawi. Yang saya tahu saya boleh membaca kitab " Mastika Hadith " dalam tulisan Jawi. Saya membaca kitab fekah mazhab Syafie seperti Matla'ul Badarain" karangan Tok Syeikh Daud al-Patani. Saya menjejak ke alam belajar cara pondok di Pondok Berangan , Tumpat , Kelantan. Ya ...saya pernah menjelajah ke banyak pondok-pondok di Kelantan dan amat mencintai pengajian cara pondok dan kitab-kitab tua.

Saya bersetuju dengan Nik Aziz bukan kerana dia seorang ahli politik , tapi kerana dia menyebut pondok adalah tempat yang kita sebagai orang Islam dan Melayu ada kaitan dengan hidup dan budaya Melayu yang tulin. Kebetulan Nik Aziz sendiri pernah belajar di pondok di Besut , Terengganu. Kata Nik Aziz bahawa pondok ialah tempat yang sesuai bagi orang-orang menghabiskan sisa-sisa hidup. Ini kerana biasanya pondok adalah berdekatan dengan masjid dan orang-orang tua merasa sejuk hati ketika dikelilingi oleh orang-orang ugama dan ada masa untuk sembahyang berjemaah. Biasanya di pondok ada ramai pelajar dan tok guru yang belajar dan mengajar kitab. Inilah salah satu budaya Melayu yang tulin yang patut dipertahankan.

Orang yang berfahaman moden akan kata bahawa pondok ialah tempat yang mundur dan jumud. Pondok adalah tempat melahirkan manusia yang layak menjadi tok imam , guru-guru ugama , pak-pak lebai dan tukang-tukang baca doa selamat sahaja. Itu adalah skop fahaman yang sempit dan sekular. Sebenarnya pondok ada tempat yang terbuka. Sesiapa saja boleh belajar di pondok ....guru sekolah , polis , askar , doktor , jurutera dan ustaz sendiri yang mahu mendalami ilmu cara mengitab dan mendengar tok-tok guru mengajar kitab.

Belajar secara pondok adalah satu suasana yang indah. Kita belajar satu bab fekah umpamanya , kita boleh menyoal tok guru , tok guru pula menjawab persoalan kita dan kita yang kurang tahu akan dapat tahu apa yang kita tidak tahu. Sebenarnya suasana pondok ialah kita merendah diri. Jika ada seorang yang sudah alim yang hadir dalam satu majlis pengajaran ..kadang-kadang tok guru akan bertanya dia , apakah pendapat dia dan dia boleh menjawab sebagai menyampaikan pengetahuan kepada orang lain . Tidak timbul dalam majlis itu orang yang angkuh dan ego tentang keilmuannya.

Terdapat banyak pondok-pondok di Kelantan adalah menjadi satu aset dan tarikan pelancong. Memang melihat suasana belajar ugama di pondok adalah sesuatu yang indah ....satu kebudayaan Melayu yang orang Melayu sendiri patut pelihara dan kembangkan. Jangan biarkan budaya pondok dan tempat-tempat pengajian ala pondok semakin lama semakin pupus ditelan zaman.

Syabas Tok Guru Nik Aziz kerana perihatin.  Saya berharap ramai lagi pemimpin orang Melayu menyambut baik rancangan Nik Aziz. Tak kira ...yang berlabel IKIM ke , ABIM ke , ISTAC ke .....sama-sama kita memberi pembelaan kepada budaya Islam kita ...yaitu pondok-pondok di seluruh Malaysia.

No comments:

Post a Comment