Hazayani Zakaria |
KUALA LUMPUR, 19 Mac: Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf menggesa kerajaan menyatakan pendirian mengenai fatwa Pengerusi Persatuan Ulama Sedunia, Dr. Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi terhadap kes qazaf melibatkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim. Yusmadi dalam satu sidang media di lobi Parlimen petang semalam berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom bertanggungjawab menjawab isu itu kerana mengikut fatwa yang dikeluarkan Yusuf, sesiapa yang merancang dalam fitnah tersebut, sama ada secara langsung atau tidak langsung, maka hukumnya adalah munafik manakala sesiapa yang membantu menyebarkan berita fitnah tersebut maka jatuh hukumnya sebagai fasik. Beliau membuat gesaan itu ekoran soalannya bagi pertanyaan jawab lisan di Parlimen hari ini ditolak oleh pihak dewan atas alasan ianya bersifat subjudis. "Hari ini soalan saya bagi soal jawab lisan ditolak atas alasan ianya subjudis. Saya kecewa kerana Kerajaan Malaysia kononnya mahu memartabatkan Sistem Kehakiman Syariah dan undang-undang syariah di Malaysia tapi tidak menyatakan pendirian mereka dalam isu ini," katanya. Pada 11 Mac lalu, Ketua Angkatan Muda Malaysia (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin secara rasmi menyerahkan sesalinan rakaman fatwa Yusuf ke pejabat Perdana Menteri dan kepada Jamil Khir. Namun sehingga ke hari ini, kedua-duanya masih belum memberikan sebarang respons berhubung rakaman itu. "Seperti yang diamanahkan Dr Yusuf, Ketua AMK menyerahkan rakaman itu ke Pejabat Perdana Menteri namun selepas seminggu, masih belum apa-apa respons dari Datuk Seri Najib dan Datuk Jamil Khir," katanya. Beliau berkata, Najib dan Jamil mesti menyatakan pandangan mereka kerana isu itu dapat memberikan implikasi besar kepada masyarakat Islam di negara ini. Ujarnya, yang mengeluarkan fatwa itu bukan calang-calang orang, sebaliknya daripada tokoh Maal Hijrah Antarabangsa. "Ini pandangan daripada tokoh ulama dunia. Ini satu fitnah yang boleh mendatangkan implikasi besar kepada masyarakat Islam. Jadi kerajaan tidak boleh mengatakan pandangan Dr Yusuf ini sebagai mencampuri urusan mahkamah," katanya |
Thursday, March 18, 2010
anwarVSsaiful (7)
Qazaf: Apa pendirian kerajaan fatwa munafik, fasik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment