Monday, June 13, 2011

Tun M wajar mohon maaf pada PAS, Anwar

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/3713-tun-m-wajar-mohon-maaf-pada-pas-anwar


Ismail Hashim   
SHAH ALAM, 9 Jun: Nasihat segera bertaubat Pengerusi DAP yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh terhadap mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dilihat sangat tepat pada masanya.
Timbalan Setiausaha DAP Selangor, Ng Swee Lim (gambar) berkata, nasihat itu sewajarnya diikuti baik oleh Mahathir memandangkan beliau seorang perdana menteri selama 22 tahun yang banyak melakukan kesilapan.
Menurut Swee Lim, Tun Mahathir mestilah menerima nasihat itu kerana sebagai seorang beragama Islam, beliau wajib percaya kepada konsep halal haram, dosa pahala dan syurga neraka.
Katanya, jika Mahathir tidak menerima nasihat bertaubat itu, nescaya di akhirat nanti, beliau akan disiksa dengan azab pedih ekoran kesalahan besar yang dilakukan semasa hidup di dunia.
“Antara kesalahan paling besar adalah memfitnah PAS dan menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan liwat yang tidak dapat dibawa saksi yang adil dan mencukupi.
Swee Lim yang juga Adun Sekinchan, Selangor berkata, sekiranya Tun Mahathir sudi bertaubat, maka selepas itu beliau hendaklah memohon maaf kepada PAS, Anwar serta keluarganya secara terbuka.
“Saya seorang bukan Islam tetapi saya menerima konsep halal haram, dosa pahala dan syurga neraka apatah lagi agama Islam (Allah SWT) itu Maha Pengampun.
“Semua orang pernah melakukan kesalahan, jangan berdegil, wajib dan sudah sampai masanya untuk beliau bertaubat serta memohon maaf sesama umat kerana jika enggan, ada bara api neraka menunggu di akhirat kelak,” tegasnya.
Adun dua penggal itu berkata, Mahathir pernah menulis surat kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz menghalang dilaksanakan Kanun Jenayah Syariah II dan hari ini, tiba-tiba beliau pula yang sukakan hukum Islam itu.
Sekiranya masih tidak mahu bertaubat, Swee Lim berkata, tunggulah satu hari nanti Mahathir terpaksa menjawab di akhirat kelak kerana sebagai manusia biasa, tiada apa yang rakyat boleh lakukan terhadapnya.
Dalam pada itu, Swee Lim berkata, apa yang dilakukan Mahathir adalah bertolak dari perasaannya yang kesunyian sekarang dan tidak dipedulikan lagi, lalu keluarkan berbagai kenyataan merapu.
Terbaru, Mahathir mengulas keputusan pemilihan pimpinan PAS dalam Muktamar Tahunan ke 57 dari 3 hingga 5 Jun lalu yang disifatkannya sebagai kemenangan kepada Karpal.
Ini ekoran tema ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Membangun Negara Berkebajikan yang pada Mahathir, PAS membuang perjuangan tegakkan Negara Islam yang ditentang Karpal.
Bertindak balas dari jawapan itu, Karpal pula menasihatkan Mahathir agar segera bertaubat.
Sementara itu, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, pihaknya masih menyimpan surat ancaman daripada Mahathir sewaktu beliau menjadi perdana menteri yang menghalang Kelantan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II termasuk Hukum Hudud.

Qazaf jadi mainan politik jijik Umno

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/3763-qazaf-jadi-mainan-politik-jijik-umno

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 13 Jun: Umno tetap tidak mahu berubah dan menjadikan Islam sebagai mainan politik jijik mereka apabila mempertikaikan khutbah Jumaat Negeri Selangor yang bertajuk ‘Jenayah Qazaf adalah berdosa besar’.
Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berkata, qazaf dan hudud sama seperti sembahyang, puasa dan perintah-perintah lain yang terdapat di dalam Al-Quran adalah perintah Allah dan wajib dilaksanakan.
Menurutnya, masjid merupakan tempat yang sesuai bagi menerangkan perintah Allah SWT walaupun sebenarnya menyampaikan dakwah tidak terhad hanya di masjid namun apabila menerangkan hukum Allah supaya umat Islam faham akan betapa besarnya dosa memfitnah dan mengaibkan seseorang kemudian dibawa sekali jalan penyelesaian sepertimana yang dituntut oleh agama dianggap politik, ini benar-benar menunjukkan yang Umno sememangnya jahil.
Baru-baru ini, Ketua Pemuda Umno Selangor, Ungku Salleh Ungku Jamal dan Ketua Pemuda Umno Selayang, Datuk Sohaimi Shahadan mempertikaikan isi kandungan khutbah tersebut yang mana kononnya bermotifkan politik dan mempunyai maksud di sebaliknya.
Firdaus menganggap tindakan Kerajaan Negeri Selangor memberikan kefahaman kepada rakyat akan dosa qazaf semasa khutbah Jumaat bertepatan dengan masanya memandangkan ketika itulah rata-rata umat Islam memenuhi ruang masjid berbanding dengan semasa kuliah-kuliah umum di waktu lain.
Tambahan pula, katanya isu fitnah video seks sedang berleluasa ketika ini yang mana umum mengetahui siapa dalang di sebalik penyebaran video tersebut.
Umno jelas tidak boleh membezakan antara politik dengan perintah Allah di mana hukum qazaf wujud sebelum wujudnya Umno di muka bumi ini.
“Apakah menerangkan perkara-perkara wajib yang terkandung di dalam Al Quran salah?
“Bukankah itu satu kewajipan bagi pemerintah bagi menjadikan rakyat berilmu dan tidak mudah ditipu?” soalnya.
Menurutnya, Umno sememangnya suka jika rakyat dibiarkan hidup dalam keadaan jahil serta buta ilmu supaya rakyat mudah ditipu oleh Umno.
Bagi Umno, ujarnya selagi rakyat buta maklumat dan ilmu, selagi itu mereka boleh terus berkuasa dan memperbodohkan rakyat.
Kata beliau, sememangnya Umno tidak boleh dibiarkan lagi menjadi pemerintah di Malaysia ini.
Mereka, katanya jelas bertopengkan agama demi meraih habuan politik.
“Bagi mereka agama sekadar solat, puasa dan zakat, tidak lebih daripada itu sedangkan Islam syumul dan menjadi panduan kepada kehidupan kita,” katanya